Search This Blog

Tuesday, January 7, 2014

Langkah KPM menurunkan kuasa JPN lulus projek perlu dicontoh, PKR Tenom

TENOM - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom Masdin Tumas (gambar), menyifatkan tindakan yang diambil Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menurunkan kuasa membenarkan Pengarah Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) meluluskan projek pembangunan pendidikan sehingga RM5 juta baru baru ini, suatu langkah positif kearah transformasi pendidikan Negara.

Oleh itu, tegasnya, adalah wajar bagi kementerian lain terutamanya Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Kementerian Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah (KKLW) mengikut jejak langkah KPM menurunkan kuasa kepada agensi agensi mereka diSabah, dalam konteks mengurangkan birokrasi.

Beliau berkata, dengan berbuat demikian, jabatan jabatan terbabit mampu melaksanakan seterusnya mempercepatkan perancangan pelbagai pembangunan di kawasan luar bandar yang melibatkan pelbagai infrastruktur di kawasan pedalaman agar mencapai sasarannya.

Selagi masih ada kekangan disebabkan sekatan had kuasa yang diamalkan sekarang ini oleh kerajaan Barisan Nasional (BN), selagi itu kelancaran pembangunan terus terbatas dan ianya memakan masa yang agak lama sehingga berbulan bulan mengakibatkan timbul reaksi negatif rakyat dinegeri ini terhadap sistem yang diamalkan pihak kerajaan Persekutuan.

“Ini bukan isu mempolitikkan kelembapan sistem pentadbiran kerajaan BN tetapi ia harus dipandang dari sudut kepentingan rakyat selaku pengguna terutamanya infrastruktur jalanraya yang mengalami kerosakan sehingga berbulan malah ada yang sampai bertahun masih terbengkalai.

“Banyak contoh yang kita dapat lihat, di beberapa lokasi jalanraya yang mengalami tanah runtuh sejak tahun 2009 lagi sehingga sekarang sudah bertahun masih menunggu peruntukkan Persekutuan.

“Kawasan yang paling ketara kelembapannya seperti di kawasan beberapa batang jalanraya menuju ke Rundum, Ulu Tomani, Kg Abingkoi sangat daif yang hanya boleh dilalui oleh kenderaan jenis pacuan empat roda,” Tegas Masdin ketika memberitahu media pada Isnin.

Walaupun Sabah telah mencapai kemerdekaan menerusi pembentukkan Malaysia lebih 50 tahun lalu, namun didalam usia itu, tahap pembangunan dan kemajuan yang dicapai sangat minima dan membosankan rakyat, ujarnya.

Hakikatnya, tegas beliau, ramai rakyat terutamanya golongan muda yang berpendidikan sukar untuk menerima hakikat itu lantas mencadangkan kepada kerajaan supaya kerajaan mengembalikan kuasa autonomi kepada Sabah kerana mereka sudah bosan melihat kelibat mereka yang tidak pernah berubah.

Dalam pada itu, Masdin turut menyuarakan pandangan kepada kerajaan khususnya JKR agar jambatan Tenom Lama yang telah berusia lebih 40 tahun dijalankan pemeriksaan sekali lagi oleh Jurutera yang pakar dalam binaan jambatan untuk memastikan jambatan itu selamat dilalui kenderaan.

“Kita bimbang keupayaan ketahanan jambatan itu sama ada masih mampu menampung kenderaan berat melaluinya...kerana, apa yang kita lihat selepas banjir baru baru ini keadaannya semakin rancak bergoyang walaupun kenderaan kecil melaluinya.

“Saya menyokong saranan yang dibuat Datuk Teo Ming Chung sebelum ini iaitu sejak tahun 2010 yang mahukan jambatan ini diselenggara dengan betul kerana keadaan fizikalnya semakin dibimbangi orang awam khusunya para pengguna.

“Kita tidak mahu tragedi jambatan Mandahan yang mengorbankan beberapa nyawa beberapa tahun lalu akan berlaku disini pula,” tegasnya.

No comments:

Post a Comment