Sebanyak 134 kes tipu melalui internet yang laporkan di Sabah sepanjang tahun lalu.
KOTA KINABALU: Gara-gara terlalu percaya dengan kenalan lelaki melalui internet, seorang penyelia wanita akaun kerugian lebih RM49,000 selepas dia diminta untuk membayar sejumlah wang bagi membawa keluar sebuah bagasi yang kononnya mengandungi sebanyak US$2.6 juta dan ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Mangsa yang hanya dikenali sebagai Chin, 48, adalah satu daripada 134 kes tipu melalui internet yang laporkan di Sabah sepanjang tahun lalu melibatkan kerugian sebanyak RM5.3 juta, kata Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JKJK) kontinjen Sabah, Superitendan Soh Hock Sing kelmarin.
Katanya, dari 134 kes tersebut merangkumi 93 kes membabitkan tawaran jual beli barangan manakala 41 kes melibatkan bungkusan dimana modus operandinya adalah dengan memperdayakan mangsa kononnya akan menghantar bungkusan tersebut.
“Kebanyakan mangsa adalah perempuan yang berumur dalam lingkungan 25 hingga 35 tahun,” kata Soh.
Dalam pada itu, Soh memberitahu sebanyak 20 kes tipu internet dan bungkusan melibatkan kerugian kira-kira RM219,164 dilaporkan sepanjang Januari hingga Februari tahun ini.
“Saya ingin menasihatkan kepada orang ramai khususnya pengguna internet agar lebih berhati-hati ketika berurusan dan juga tidak mudah terpengaruh dengan kenalan internet,” ujarnya.
Dalam laporan polis Chin, katanya pada mulanya dia berkenalan dengan seorang lelaki kononnya bernama Martin Gibson yang berasal dari Kanada pada awal Januari lepas dan lelaki itu kemudiannya juga berjanji akan datang bercuti ke Malaysia untuk berjumpa dengan mangsa.
Lelaki tersebut yang dikatakan mengambil penerbangan dari Scotland selepas itu telah menghubungi mangsa kerana mengatakan bahawa bagasinya yang berisi sejumlah wang tersebut telah ditahan selepas tidak diisytiharkan.
Selepas itu, seorang lagi lelaki bernama Garry yang mendakwa ejen daripada Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) telah menghubungi Chin dan memberitahu jika bagasi itu mahu dikeluarkan, maka pembayaran sebanyak US$20,500 harus dibuat.
Lelaki yang bernama Garry itu juga menyuruh mangsa untuk membawa wang tersebut ke Kuala Lumpur dan berjanji setibanya mangsa di sana, dia akan membawa mangsa pergi ke jabatan berkenaan untuk berurusan.
Pada 21 hingga 24 Februari lepas, Chin telah memasukkan sejumlah wang secara berasingan ke beberapa akaun bank dengan tujuan untuk membantu Martin mengeluarkan bagasinya yang didakwa telah ditahan di KLIA.
Bagaimanapun selepas itu, mangsa menyedari yang dia mungkin telah ditipu dan mengalami kerugian sebanyak RM49,025.
Wang disalah guna
Bimbang akan dibabitkan dengan kegiatan seperti pengubahan wang haram, jual beli senjata api atau wang tersebut disalahguna untuk tujuan jenayah, Chin kemudiannya membuat laporan polis di Balai Polis Karamunsing pada Jumaat lepas.
Dalam perkembangan lain, Soh berkata dua lelaki dan lima wanita berumur diantara 20 dan 30 tahun diberkas kerana dipercayai terlibat dengan kegiatan ceti haram atau ‘along’ yang mengenakan faedah pinjaman sehingga 46 peratus setahun di sebuah premis di Keningau baru-baru ini.
Katanya, kesemua suspek termasuk ‘bos’ mereka yang berasal dari Semenanjung itu ditahan dalam satu serbuan pada Isnin lepas kira-kira jam 10.30 pagi.
Sebanyak 301 keping kad ATM milik peminjam, 279 buku akaun pelbagai bank, buku senarai peminjam dan beberapa peralatan lain dirampas dari suspek.
Menurut Soh, di bawah Seksyen 17A Akta Pemberi Pinjaman Wang (APPW) 1951, para pemberi pinjaman wang hanya dibenarkan meletakkan kadar kaedah antara 12 hingga 18 peratus setahun sama ada dengan cagaran ataupun tanpa cagaran.
“Kalau sudah sampai 46 peratus setahun, ini sudah salah dan perlu diambil tindakan,” tegasnya.
Jelasnya, kes tersebut akan disiasat mengikut Seksyen 5 (2) APPW 1951 kerana memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah dan jika disabit kesalahan boleh dikenakan denda antara RM25,000 hingga RM100,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-dua sekali.
“Serbuan itu dibuat selepas kita menerima aduan bahawa faedah pinjaman yang dikenakan agak tinggi dan kita juga percaya premis tersebut menjalankan perniagaan memberi pinjaman wang tanpa lesen yang sah,” katanya kelmarin.
Soh memberitahu berdasarkan siasatan awal, premis itu dipercayai telah beroperasi sejak satu tahun yang lepas dan telah mengaut keuntungan beratus ribu ringgit daripada peminjam, dan mempunyai sebanyak 400 orang pelanggan di daerah Keningau.
No comments:
Post a Comment