TUARAN - Seorang penulis Lotud yang terkenal di sini menyatakan kebimbangan terhadap ortografi (sistem ejaan) baru yang dicadangkan oleh Pertubuhan Pelestarian Bahasa Lotud Sabah (Perlestarian) yang sekarang tengah berusaha untuk menulis dan menerbitkan kamu Lotud.
Raymond Tombung yang telah menulis banyak artikel dan buku-buku, termasuk mengenai budaya dan bahasa Dusun, berkata dalam satu stetmen di sini bahawa dia menyanjung tinggi dan memuji usaha bersungguh-sungguh yang dijalankan oleh Pelestarian yang ahli-ahlinya adalah para intelek dan para pemimpin masyarakat Lotud. Pelestarian diketuai oleh Datuk Monggoh Orow dan dibantu oleh Sylvia Surutan Poit.
"Bagaimanapun, saya tidak bersetuju dengan keputusan untuk menggunakan konsonan-konsonan 'y' dan 'w' sebagai pengakhiran beberapa perkataan, dan bukan 'i' atau 'u' sebagaimana yang sepatutnya. Contohnya, 'suai' (lain) dieja sebagai 'suway', 'kadai' (kedai) dieja sebagai 'kaday', 'adau' (matahari) dieja sebagai 'adaw' dan seterusnya. Rata-rata orang Lotud yang memberi komen berkata perkataan-perkataan ini nampak lebih Inggeris daripada Lotud, dan ia kelihatan 'asing' bagi mereka.
"Saya tidak nampak apa-apa sebab kenapa ortografi ini perlu lari begitu jauh daripada ortografi Bahasa Malaysia standard. Saya telah diberitahu oleh ahi-ahli Pelestarian bahawa sistem ejaan ini telah dicadangkan oleh dua wakil Summer Institute of Linguistics dengan tujuan 'menubuhkan satu identiti ejaan Lotud yang unik'," katanya.
Bagaimanapun, Tombung menyatakan bahawa tinjauan yang dibuatnya sendiri menunjukkan bahawa amat ramai jumlah orang Lotud yang menentang sistem ejaan ini. Oleh itu beliau mencadangkan agar Pelestarian menjalankan tinjauannya sendiri sebelum membuat keputusan muktamad mengenai sistem ejaan tersebut.
Tombung juga mengingatkan bahawa beliau dan jawatankuasa ortografi beliau telah menyiapkan satu ortografi bahasa Dusun 22 tahun yang lalu dengan perundingan dan panduan sepenuhnya dari dua orang juru bahasa (linguis) dari Institut Linguistik Summer.
"Dua linguis itu ialah pasukan suami isteri, David dan Doris Blood, yang telah membantu kami sepanjang usaha kami sehinggalah ortografi itu diterbitkan dalam bentuk buku yang berjodol Ortografi Dusun pada tahun 1991," katanya. "Saya agak kecewa kerana saya tidak dirujuk ketika jawatankuasa ortografi yang baru dibentuk tahun lalu walaupun ketika itu saya kurang sihat."
Bagaimanapun dia nampak masih ada harapan untuk memperbetulkan keadaan kerana seorang ahli Pelestarian, Albert Polinoh, telah memberitahu beliau bahawa semuanya belum lagi diputuskan secara muktamad, dan ortografi itu akan dimasukkan ke dalam satu laman sesawang untuk mendapatkan pelbagai komen dan cadangan untuk pembetulan sebelum diterbitkan dalam bentuk buku.
"Sudah tentu akan susah untuk memperbetulkan keadaan jika kamus Lotud yang menggunakan ortografi tiu sudah diterbitkan kemudian didapati terlalu ramai orang Lotud yang menentang ortografi tersebut," tambahnya.
No comments:
Post a Comment