Search This Blog

Sunday, January 19, 2014

Kg Kolorok dicicirkan dari arus pembangunan

TENOM - Meskipun negara telah merdeka lebih 50 tahun lalu namun masyarakat Kg Kolorok dan sekitarnya terus diulit penderitaan kerana tidak berpeluang menikmati pembangunan pesat daripada kerajaan terutamanya infrastruktur jalanraya, bekalan air bersih dan bekalan elektrik.

Semua itu berlaku akibat masalah status pemilikan tanah disitu yang masih terikat kepada hak kerajaan dimana hampir 80 peratus daripadanya dalam kawasan hutan simpan yang dikawal oleh kerajaan negeri melalui satu enakmen Jabatan Perhutanan Sabah.

Meskipun Ketua Menteri Datuk Seri Musa Haji Aman pernah mengumumkan sebelum pilihanraya umum kali ke-13 (PRU13) bahawa kerajaan sedia menimbang untuk menyerahkan tanah adat NCR kepada penduduk asal yang benar benar layak dan berhak mendapatnya namun kenyataan itu nampaknya masih belum digerakkan.

Selain itu, sekitar tahun 2010 dan 2011, beberapa kelompok “orang asal” antaranya Persatuan PAKAT (Perkampongan Ahuron, Kabintaluan, Abingkoi dan Tomani) yang diketuai Pengerusinya Rainus Sagulau tampil menuntut hak tanah adat (NCR) mereka supaya dikeluarkan daripada kawasan hutan simpan.

Bagaimana pun, hasrat kelompok itu sekadar berada diatas kertas kerana usaha mereka beberapa tahun dahulu tidak mendapat perkhabaran mengenai kedudukan atau status tuntutan mereka.

Sedangkan, niat dan hasrat Rainus itu semata mata mahu melihat kelompoknya terkeluar daripada kepompong kemiskinan selepas menerima limpahan pembangunan pesat daripada kerajaan seterusnya ia dapat membaiki taraf penghidupan dan sosio ekonomi mereka.

Ekoran daripada perkembangan itu, Ahli Parlimen Tenom Datuk Raime Unggi dalam satu kenyataannya pada Januari 11, 2014 meminta agensi kerajaan terutamanya Jabatan Perhutanan supaya mengambil langkah drastik mengeluarkan dan sebaliknya mewartakan kawasan NCR yang berada dikawasan hutan simpan sebagai perkampongan penduduk asal.

Raime bimbang jika sekiranya pihak terbabit tidak mengambil langkah langkah drastik, kawasan kawasan luar bandar yang selama ini terhalang berikutan enakmen Jabatan itu, kawasan terbabit akan tercicir daripada mendapat pembangunan kerajaan dari pelbagai infrastruktur.

Ramai yang ditemui dimana rata rata berpendapat bahawa, kesungguhan pemimpin khususnya wakil rakyat untuk merancang beberapa program bagi melestarikan pembangunan dikawasan luar bandar namun kekangan utama mereka adalah daripada agensi kerajaan yang tidak bekerjasama.

Dalam konteks ini, kawasan terjejas teruk yang gagal mendapat agehan pembangunan seperti diKg Kolorok kira kira 60km dari pekan disini dimana sebuah sekolah telah dibina disitu tetapi serba kekurangan dari segi infrastruktur, tiada klinik kesihatan, tiada bekalan elektrik dan juga bekalan air bersih.

Malahan kakitangan sekolah dan guru guru yang bertugas di SK Kolorok turut mengeluh kerana mereka terpaksa merempuh pelbagai kesukaran kerana perhubungan jalanraya yang daif berlumpur terutama sekali ketika musim tengkujuh.

“Walau apa pun rintangan dan kesukaran yang kami hadapi, kami terpaksa juga mengharunginya demi tugas dan anak anak murid sekolah agar tidak tersisih didalam arus pendidikan.

“Kalau sekadar untuk suka suka datang ke kawasan sini...saya tidak terfikir berminat untuk berbuat sedemikian ketika jalanraya yang berkeadaan umpama tempat permandian binatang buas, ” terang seorang pendidik yang enggan indentitinya didedahkan ketika ditanya Harian Ekspress pada Jumaat.

Oleh: Mail Mathew

No comments:

Post a Comment