Search This Blog

Saturday, February 8, 2014

Isu klip video MP Seputeh: Beri ruang KDN dan PDRM lakukan siasatan, kata PKR Tenom

KEMABONG - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Tenom Masdin Tumas (gambar), menggesa pihak berkuasa khususnya Polis DiRaja Malaysia (PDRM) agar membuat penelitian latar belakang kumpulan yang mendakwa NGO sebelum laporan Polis mereka diterima.

Adalah kerana, sejak akhir akhir ini tegasnya, terdapat kecenderungan yang melampau kegiatan laporan Polis oleh golongan itu bila sahaja berlaku sesuatu isu panas, namun disebaliknya, kesahihan identiti NGO itu perlu diketahui termasuk dalangnya.

Oleh itu, adalah lebih baik semua pihak menyerahkan sahaja tugas dan tanggung jawab dari aspek keselamatan kepada pihak berwajib khususnya Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan PDRM untuk melaksanakannya kerana agensi itu lebih peka dan lebih mahir dalam hal ehwal keselamatan negara.

“Kenapa mesti kita bawa seberapa ramai penyokong ke Balai Polis buat laporan dan minta Polis jalankan siasatan? Sedangkan mereka lebih maklum perkara itu. Semua harus memandang serius perlunya menjaga perpaduan yang paling berharga untuk terus hidup dengan aman damai,” katanya.

Tegasnya, beliau bimbang jika kegiatan seperti itu tidak dibendung atau pun diselidiki dengan teliti kemungkinan ada pihak yang tidak bertanggung jawab mengambil kesempatan dalam situasi itu untuk mengeruhkan lagi keadaan sehingga tercetus ketegangan serius dikalangan pelbagai kaum.

Selain itu, Masdin turut ucap syukur dan berterima kasih kepada pemimpin kerajaan terutamanya Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Yahya Hussin dan Datuk Radin Malleh kerana baru baru ini mereka telah menyatakan pendirian masing masing yang tidak setuju agama dan politik dicampur adukkan.

“Secara peribadi, saya tabek dan hormat kepada mereka kerana mengamalkan kesederhanaan berpolitik yang patut dijadikan contoh...kerana yang lebih penting adalah perpaduan dan keharmonian untuk semua rakyat pelbagai suku kaum dan agama dinegara ini.

“Suhu politik kita sudah berada ditahap yang membimbangkan, tidak langsung menghormati prinsip Rukun Negara...saya merayu agar semua pihak tidak kira pembangkang atau Barisan Nasional (BN) kita kena “slow” sedikit,” kata beliau pada Sabtu.

Ditanya berhubung isu klip video yang didakwa berbaur fitnah yang turut mengaitkan Ahli Parlimen DAP Seputeh Theresa Kok yang mendorong kebangkitan ramai NGO tampil memprotes selain membuat laporan Polis Masdin (kiri) berkata, “Seharusnya isu tersebut pihak NGO tidak harus mendahului agensi kerajaan seperti KDN dan PDRM untuk bertindak tegas tetapi mereka (NGO) perlu membuka ruang kepada agensi itu untuk menjalankan siasatan dan seterusnya mendawa pesalah terbabit ke Mahkamah untuk pengadilan...itulah jalan yang sebaik baiknya,” tegas Masdin.

Oleh: Mail Mathew

No comments:

Post a Comment