Search This Blog

Thursday, October 10, 2013

Media Sabah diingatkan tidak bangkitkan isu sensitif

Pengamal media, khususnya media sosial harus bersikap adil, bebas dan peka terhadap laporan berkaitan dengan sensitiviti agama dan kaum.

KOTA KINABALU - Pengamal media di Sabah diingatkan lebih sensitif dan bertanggungjawab dengan tidak membangkitkan isu-isu yang akan menggugat perpaduan dan integrasi kaum, kata Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Abu Bakar Hassan.

Beliau berkata pengamal media, khususnya media sosial harus bersikap adil, bebas dan peka terhadap laporan berkaitan dengan sensitiviti agama dan kaum bagi menjaga keharmonian pelbagai kaum dan etnik di negeri ini.

“Saya mengakui peranan media penting dalam melaporkan perkara-perkara benar mengenai tuntutan dan penjelasan terhadap dasar-dasar serta program kerajaan.

“Dalam memberi penjelasan yang benar, media tidak harus membangkitkan isu-isu kontroversi dan mesti bertanggungjawab terhadap laporan berkaitan,” katanya ketika berucap pada majlis makan malam mesra media dan Kongres Kesatuan.

Pekerja-pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) bersama Pejabat Setiausaha Persekutuan Sabah di sini malam tadi.

Turut hadir pemangku Presiden Persatuan Wartawan Sabah (SJA) Francis Fahir dan Pengerusi Cuepacs Sabah Jamian Dom.

Beliau berkata media seharusnya tidak membuat andaian sendiri dalam laporan mereka, selain tidak mencipta spekulasi yang mengelirukan rakyat, sebaliknya melaporkan perkara yang tepat.

Kaji 40 skim

Abu Bakar berkata kerajaan bersedia mengkaji semula 40 skim gaji penjawat awam termasuk kenaikan gaji tahunan dan pelbagai elaun lain.

Beliau berkata kerajaan di bawah pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan keprihatinan membela nasib rakyat termasuk penjawat awam agar lebih terjamin.

“…Perdana menteri telah menjayakan pelbagai program bagi membantu penjawat awam selain isu keselamatan negara ketika menghadapi krisis pencerobohan di Lahad Datu,” katanya.

Dalam pada itu, menurutnya semua pihak harus mewujudkan penglibatan secara langsung bagi menjalin hubungan erat selain mengalakkan perhubungan mesra antara agensi kerajaan dan pihak berkaitan.

Penjawat awam juga, katanya, perlu bekerja lebih rajin dan meningkatkan prestasi dan produktiviti setimpal dengan keprihatinan kerajaan membela nasib mereka.

Bernama

No comments:

Post a Comment