Perlembagaan PKR didapati mempunyai peruntukan dimana semua pelantikan bagi jawatan di Sabah akan diputuskan oleh pemimpin pusat di Kuala Lumpur.
Ini bermaksud, ahli parti tidak mempunyai kuasa demokratik untuk memilih pemimpin mereka di negeri ini.
Jika PKR mengambil alih kuasa di Sabah dan Sarawak maka kuasa melantik Ketua Menteri dan barisan Kabinet negeri berada di dalam tangan para pemimpin di Kuala Lumpur.
Lebih memeranjatkan lagi apabila terdapat peruntukan bahawa pemimpin di Kuala Lumpur berkuasa melantik ketua kampung dan pengerusi Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK).
Para pemimpin PKR Sabah yang sealiran dengan Datuk Dr. Jeffrey Kitingan telah menggesa agar peruntukan itu dimansuhkan tetapi ditolak oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Oleh itu bagaimana, seseorang ahli politik yang berakal dan mempunyai latarbelakang baik serta berpengetahuan tentang maksud keadilan dapat menerima bahawa peruntukan sedemikian rupa terdapat dalam Perlembagaan PKR.
Semua pihak sudah tentu akan hairan dengan dakwaan PKR kononnya mereka memperjuangkan demokrasi, keadilan, ketelusan, kebebasan bersuara, dasar liberal dan semua yang positif serta berorientasikan kemajuan.
Adalah jelas sekali bahawa PKR sebagai sebuah parti politik bertaraf kebangsaan sebenarnya berhasrat ingin menguasai Sabah dan Sarawak dari Kuala Lumpur.
Keadaan sedemikian pasti memberi gambaran bahawa Anwar Ibrahim sebenarnya ingin menjadi seorang diktator.
Anwar memberi kebebasan kepada para ahli parti memilih beliau sebagai ketua tetapi tidak membenarkan mereka mempraktikkan hak demokrasi masing-masing.
Anwar seolah-olah ingin melaksanakan pemerintahan neo-kolonialistik terhadap Sabah dan Sarawak.
Ketua Umum PKR itu akan melakukannya dengan mengukuhkan kuasa melalui pemerintahan kuku besi keatas Sabah dan Sarawak.
Ketika berceramah, Anwar sering mendakwa bahawa Barisan Nasional mempraktikkan Hukum Rimba, bagaimanapun dakwaan itu sudah pasti membuatkan kita terfikir sejenak apakah jenis undang-undang yang akan beliau rancangkan untuk negara jika berkuasa kelak.
Peruntukan sukar dipercayai yang terdapat dalam Perlembagaan PKR itu tidak masuk akal dalam abad ke-21 ini kerana cuba mengheret kita ke zaman pemerintahan Feudal yang memaksa semua pihak terikat dan patuh secara membabi buta.
Rakyat Sabah dan Sarawak yang masih bermimpi bahawa PKR akan membawa kebebasan, reformasi, demokrasi dan keadilan harus memikirkan semasak-masaknya tentang Peruntukan yang tidak masuk akal itu.
Bolehkah rakyat Sabah dan Sarawak menerima layanan PKR dengan Peruntukan yang sedemikian rupa?
Segala yang Anwar Ibrahim pelajari dari ahli pemikir seperti Socrates, Sun Tzu dan Freud sebenarnya beliau telah tersasar daripada jalan sebenar seterusnya menyebabkan para ahli parti di Sabah hilang kepercayaan serta kesetiaan.
Hilang sudah harapan dan impian untuk melihat PKR membina masa depan berlandaskan kebenaran yang kukuh kerana kepalsuan dan penipuan jelas kelihatan.
Rakyat Sabah dan Sarawak berhak mendapat sesuatu yang lebih baik – platform kita sendiri dan kita kemudi sendiri yang bebas dari sebarang kerugian daripada campurtangan orang luar yang berniat jahat.
Mengibarkan bendera reformasi adalah satu pengembaraan manis, mencanang keinginan untuk satu kerajaan baru.
Bagaimanapun, reformasi mati di dalam tangan pembawa obornya yang menyesatkan.
Dalam pada itu, perjuangan untuk membentuk satu kerajaan baru dihidupkan kembali melalui satu bendera lain di pulau Borneo.
Bendera itu kini bangga berkibar di Negeri di Bawah Bayu ini serta mendapat sokongan di Sarawak, diperkuatkan dengan semangat juang lama dan diperkukuhkan dengan wawasan untuk satu Malaysia baru. Oleh Raymond Tombung
No comments:
Post a Comment