Search This Blog

Saturday, September 11, 2021

Kita sibuk urus Covid-19, mereka komplot jatuhkan PN – Muhyiddin

 KUALA LUMPUR – Parti Bersatu Pribumi Malaysia (Bersatu) kecewa kerana ada pihak sebelum ini ingin melihat kerajaan Perikatan Nasional (PN) gagal mentadbir negara.

Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan, PN sebenarnya tidak gagal sebaliknya golongan itu yang mahu menunjukkan kerajaan pimpinannya kecundang.

Ia dapat dibuktikan apabila ketika kerajaan sebelum ini sibuk mengurus Covid-19, golongan itu juga sibuk berkomplot menjatuhkan kerajaan PN.

“Saya tahu ramai rakyat yang tidak suka dengan perbuatan mereka. Apatah lagi ahli-ahli Bersatu yang mahu saya terus kekal memimpin kerajaan Perikatan Nasional.

“Tetapi saya mesti patuh kepada Perlembagaan Persekutuan. Apabila saya kehilangan sokongan majoriti di Dewan Rakyat, saya mesti letak jawatan dan itulah yang saya lakukan,” akui bekas Perdana Menteri itu.

Beliau berkata demikian dalam Perutusan Presiden Bersatu sempena ulang tahun kelima Bersatu di Facebook Page Bersatu Malaysia malam ini.

Muhyiddin menambah, fokus kerajaan PN sebelum ini adalah berusaha untuk memulihkan negara daripada pandemik.

Kerana itu ketika beliau menjadi Perdana Menteri, katanya, keutamaan diberikan kepada program vaksinasi.

“Kita menempah vaksin lebih awal daripada negara-negara lain. Kita pastikan bekalan vaksin mencukupi untuk semua penduduk di negara ini.

“Dalam tempoh 17 bulan, kerajaan telah menempah 87 juta dos vaksin iaitu mencukupi untuk lebih 140 peratus penduduk negara ini, yang melibatkan perbelanjaan sebanyak RM4.36 bilion,” katanya.

Muhyiddin juga memberitahu, selain melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan, strategi kerajaan ketika itu yang paling utama ialah meningkatkan dan mempercepatkan program vaksinasi.

“Hari ini, kita telah melihat hasilnya. Lembah Kelang yang dahulunya menjadi pusat penularan wabak Covid-19 telah mula menunjukkan tanda-tanda pemulihan apabila 97.8 peratus penduduk dewasa di Lembah Klang telah menerima suntikan dos lengkap vaksin.

“Wad-wad ICU (Unit Rawatan Rapi) yang dahulunya sesak dengan pesakit Covid-19 kini telah mencatatkan penurunan jumlah pesakit.

“Sektor-sektor ekonomi, sosial, sukan dan agama juga telah mula dibuka secara beransur dengan pematuhan SOP (Prosedur Operasi Standard) yang masih berkuatkuasa. Rakyat mula menarik nafas lega kerana mereka sudah boleh mula bekerja, berniaga dan mencari sumber pendapatan,” katanya. – MalaysiaGazette

No comments:

Post a Comment