Search This Blog

Friday, September 17, 2021

MP Bersatu 'sailang' undi calon timbalan speaker Umno



MP Bersatu 'sailang' undi calon timbalan speaker Umno - Laporan
Diterbitkan:  Sep 16, 2021 1:23 PM
Ahli Parlimen Bersatu dilaporkan menolak menyokong Ahli Parlimen Pontian Umno, Ahmad Maslan sebagai timbalan speaker Dewan Rakyat yang seterusnya.

Ini dikatakan menyebabkan undian untuk jawatan itu ditangguhkan, dakwaan yang pertama kali dibangkitkan Ahli Majlis Tertinggi Umno, Mohd Puad Zarkashi.

Ahli Parlimen Bersatu, memberitahu Sinar Harian dengan syarat enggan dinamakan mengesahkan dakwaan itu benar.

"Pendirian Bersatu adalah Umno kena memilih semula seorang calon yang tidak berdepan kes pendakwaan di mahkamah dan terbukti integriti.

"Dengan kami berharap calon itu mestilah tiada masalah berurusan dengan ahli-ahli parlimen Bersatu sendiri,” kata salah seorang MP Bersatu, petik laporan itu.


Semua ahli parlimen Bersatu, serta empat ahli parlimen bebas yang berpihak kepada parti itu, kata laporan itu telah bersetuju untuk berkecuali semasa undian berkenaan.

Ini akan menyebabkan Ismail Sabri Yaakob memiliki hanya 79 undi sokongan daripada 114 anggota parlimen yang bersamanya.

Pakatan Harapan, yang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan Nga Kor Ming untuk jawatan itu, mempunyai 88 ahli parlimen. Jumlah ini boleh meningkat menjadi 105 apabila ahli parlimen pembangkang yang lain disertakan.

Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh satu-satunya wakil rakyat Umno yang duduk di bangku pembangkang dan tidak menyokong kedua-dua pihak.

Kerajaan pada Selasa telah menangguhkan pemilihan timbalan speaker Dewan Rakyat.

Secara rasmi, ini bagi memberi masa mewujudkan jawatan timbalan speaker ketiga untuk pembangkang.


Pun begitu, tidak lama selepas penangguhan itu, Puad menempelak Bersatu dan mendakwa mereka menyimpan dendam terhadap Ahmad.

Ahmad kini sedang dibicarakan kerana mengubah wang haram dan memberikan kenyataan palsu kepada SPRM mengenai lebih RM2 juta yang diterimanya daripada perdana menteri ketika itu, Najib Razak pada tahun 2013.

Najib pada bulan Julai tahun lalu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun kerana penyalahgunaan kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram yang melibatkan dana berjumlah RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd, syarikat milik kerajaan. 

Dia kemudian merayu keputusan sabitan mahkamah itu.

Berikutan penangguhan itu, Ahli Parlimen Umno Pengerang, Azalina Othman Said, yang telah melepaskan Timbalan Speaker Dewan Rakyat, diminta bertugas untuk sementara waktu.

No comments:

Post a Comment