Search This Blog

Tuesday, September 7, 2021

Pemuda PN bantu mangsa bencana di Kopungit dan kawasan lain

KOTA KINABALU: Sayap Pemuda lima buah parti komponen Perikatan Nasional (PN) iaitu SAPP, STAR, Armada, PAS dan Gerakan bergabung tenaga memberikan bantuan kepada mangsa bencana alam di kawasan terkesan di Pantai Barat Sabah.

Jamain Sarudin, Ketua Pemuda SAPP berkata, tumpuan mereka di beberapa daerah dan setiap Sayap Pemuda seperti Armada akan mengetuai bantuan di kawasan Penampang, PAS di Putatan dan Beaufort, STAR di Inanam, Gerakan di Kolombong, sementara SAPP membantu di kawasan tanah runtuh Kopungit.

“Kita telah bahagikan kawasan fokus bagi setiap parti untuk menyelaras bantuan yang diperlukan oleh penduduk di kawasan berkenaan,” Kata Jamain, yang juga Timbalan Ketua Pemuda III PN Malaysia.

Menurut beliau lagi, Pemuda PN sudah memberikan bantuan awal seperti peralatan dapur memasak bagi penduduk yang berpindah ke kawasan selamat di Kopungit, berikutan risiko bagi rumah kediaman mereka yang terletak di lereng bukit.

“8 keluarga berkenaan kini tinggal sementara di kawasan gerai, dan kelmarin kita selesai memberi peralatan memasak seperti dapur, untuk membolehkan mereka memasak sendiri,” tambah beliau lagi.

Menurutnya, setelah mendengar rintihan keluarga yang berkenaan, beliau telah mengarahkan agar Pemuda segera membeli peralatan tersebut dan diserahkan pada petang kelmarin, juga bagi mengelakkan sebarang masalah jangkitan Covid-19 sekiranya mereka keluar untuk mendapatkan bekalan makanan.

37 keluarga terkesan dengan kejadian tanah runtuh yang berlaku lewat petang Jumaat lalu. Beberapa kenderaan dan motorsikal juga dikhabarkan turut tertimbus.

“Kita mengedarkan bakul bantuan makanan dan kawasan yang lain juga akan menghulurkan sumbangan dan bantuan seperti yang dirancang,” ujar beliau lagi.

Bencana alam di Sabah berlaku disebabkan hujan yang lebat sejak beberapa hari. Beberapa kawasan dilimpahi air banjir dan terdapat runtuhan tanah yang merosakkan kediaman dan bangunan Kerajaan termasuk kemudahan di Hospital Queen Elizabeth.

Sementara itu, Jamain meminta agar penduduk sentiasa berwaspada semasa cuaca buruk, memerhatikan keadaan persekitaran dan segera berpindah segera bagi mengelakkan risiko serta sentiasa mengutamakan keselamatan diri dan keluarga.

Beliau juga berharap, badan korporat, GLC dan agensi kerajaan dapat memberikan bantuan kepada penduduk yang mengalami kemusnahan kediaman, selain bantuan kemanusian yang lainnya.

Turut hadir Charles Gokin, Pengerusi JPKK Kopungit yang juga Ketua Penerangan Pemuda SAPP, Edmund Ong Hwa Tung, Ketua Pemuda Gerakan Sabah, Dexter Chin Naib Ketua Pemuda SAPP, Clarence Oh, Bendahari, Clement Foo, Exco Pemuda SAPP.

No comments:

Post a Comment