Search This Blog

Wednesday, June 8, 2011

SAPP persoal kredibiliti Felda

Penolong Setiausaha Agung SAPP berkata, kredibiliti Felda terjejas kerana projek penempatan masyarakat yang telah dijanjikan di Lahad Datu tidak siap sepenuhnya.


KOTA KINABALU: Parti Maju Sabah (SAPP) mempersoal kredibiliti Lembaga Pembangunan Tanah Persekutuan (Felda) membawa pembangunan serta kemakmuran kepada rakyat Sabah ekoran masalah projek milik agensi itu yang tidak siap sepenuhnya.

Penolong Setiausaha Agung SAPP Suaib Mutalib berkata, kredibiliti Felda terjejas kerana projek penempatan masyarakat yang telah dijanjikan di Lahad Datu tidak siap sepenuhnya malah membazir wang sahaja.



“Pada tahun 2006 Datuk Seri Najib Tun Razak yang ketika itu Timbalan Perdana Menteri telah melancarkan projek penempatan masyarakat milik Felda bernilai RM50 juta di Lahad Datu.

“Najib berjanji bahawa sebanyak 350 unit rumah lengkap dengan segala kemudahan akan dibina, tetapi sehingga ke hari ini hanya 12 buah rumah sahaja yang telah disiapkan.

“Lebih teruk lagi kesemua rumah itu tidak dilengkapi dengan kemudahan asas seperti air dan letrik, manakala jalan raya pula tidak sempurna,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Suaib mengulas kenyataan Pengerusi Felda Mohd Isa Samad baru-baru ini bahawa Felda telah melancarkan projek pembaikan perumahan miskin bernilai RM20 juta dengan membina sebanyak 150 unit rumah di Tungku, Lahad Datu.

Isa dilaporkan sebagai berkata bahawa projek itu adalah sebahagian daripada tanggungjawab sosial korporat Felda yang akan memulangkan semula sebanyak 30 peratus keuntungan kepada rakyat dalam usaha membantu kerajaan Sabah membasmi kemiskinan.

Suaib berkata, beliau tidak mempersoalkan usaha Felda membantu kerajaan Sabah tetapi hanya ingin tahu bagaimana kesudahan projek di Sabah Baru itu yang bernilai RM50 juta.

“Jika dikira secara kasar saya dapati 12 buah rumah yang telah siapitu walaupun tanpa kemudahan asas bernilai lebih RM4 juta se unit.

“Persoalan sekarang ialah adakah masuk akal se unit rumah kos rendah boleh menelan kos lebih RM4 juta?,” soal Suaib.

Suaib seterusnya ingin bertanya samada projek perumahan di Lahad Datu itu akan disiapkan atau dibiarkan begitu sahaja.

Katanya, jika projek di Lahad Datu itu tidak dapat disempurnakan besar kemungkinan projek lain di mana-mana sahaja kawasan di negeri ini juga akan menerima nasib yang sama.

Michael Kaung

1 comment:

  1. 4 juta seunit rumah murah? felda@umno ini memang kuat rasuah!

    ReplyDelete