Search This Blog

Monday, April 23, 2012

Kelalaian JPN, sengsara anak tempatan


Francis menunjukkan kad pengenalan 
lamanya kepada New Sabah Times 
Oleh Stephan Gaimin

TENGHILAN (TAMPARULI): Bosan dengan pelbagai alasan dan karenah birokrasi yang dihadapi untuk memiliki dokumen MyKad, seorang lelaki tempatan Francis Sopoyut, 48, terpaksa mendedahkan masalah dihadapinya sejak 2001, menerusi akhbar ini.

Beliau yang berasal dari Kampung Napitas Tenghilan dekat sini dan memiliki dokumen pengenalan ‘Kad Pengenalan Biru’, memberitahu masalahnya bermula apabila proses menukarkan Kad Pengenalan lama kepada Kad Pengenalan Bermutu Tinggi sejak lebih kurang sepuluh tahun lalu.

“Saya telah mengemukakan permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk proses penukaran itu, bagaimanapun selepas merujuk beberapa kali saya diberitahu, semakan komputer oleh jabatan berkenaan tidak dapat mengesan maklumat mengenai saya termasuk surat lahir.

“Ini membuatkan saya benar-benar bingung apatah lagi diberitahu bahawa satu daripada cap jari yang terdapat dalam kad pengenalan biru (dibuat di pejabat JPN Tamparuli ketika berusia 12 tahun) berbeza dengan cap jari saya,” adunya.

Justeru katanya, dia diarah membuat laporan polis oleh pihak berkuasa berkaitan berhubung kehilangan dokumen pengenalan dan terpaksa berbuat demikian semata-mata mempercepatkan proses pengeluaran MyKad dirinya.

Bagaimanapun ujarnya, usaha itu seakan sia-sia walaupun diusahakannya dengan kos yang agak besar apabila sehingga sekarang belum kelihatan tanda-tanda positif untuk MyKad itu dimiliki.

“Terdapat juga beberapa pemimpin termasuk pemimpin masyarakat yang berjanji untuk membantu tetapi tidak pernah dikotakan,” katanya yang menemui New Sabah Times bersama dengan Exco Pemuda SAPP Pusat Stephan Gaimin baru-baru ini.

Francis mendakwa akibat masalah dokumen pengenalan diri, dia menghadapi pelbagai kekangan termasuk membuka akaun bank dan menguruskan urusan persekolahan anak-anaknya.

“Segala urusan anak-anak yang membabitkan dokumen pengenalan diri terpaksa dilakukan oleh isteri saya disebabkan kad pengenalan sementara oleh pihak JPN adakalanya tidak diterima.

“Kecuali mengundi (disebabkan untuk proses pengundian boleh menggunakan dokumen lain seperti lesen memandu) setiap kali Pilihanraya Umum, saya sentiasa menghadapi kesukaran dalam mana-mana urusan,” katanya kecewa.

Beliau memberitahu wang simpanan dalam ASB (Amanah Saham Bumiputera) yang dibukanya menggunakan kad pengenalan biru juga sekarang ini terbiar begitu sahaja.

Menurutnya lagi, sekarang ini dia terpaksa berurusan secara langsung di pejabat JPN di Putrajaya, Likas dekat Kota Kinabalu apabila diarahkan demikian.

“Semua dokumen yang diperlukan sudah saya sediakan. Tetapi dokumen pengenalan itu dikatakan masih tidak dapat dikeluarkan kerana masalah cap jari.

“Saya sudah buntu mencari jalan untuk masalah yang sekian lama berlarutan ini,” katanya yang telahpun mengadukan masalahnya kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dengan bantuan Stephan.

Lebih mengecewakan apabila sejak hampir setahun lalu dia berulang-alik ke Putrajaya (pejabat JPN di Likas) dengan harapan mendapat berita positif mendapati pihak terbabit seakan bosan melayan masalahnya apabila disuruh untuk menghubungi sendiri pejabat JPN di Kuala Lumpur sekiranya tidak mampu menunggu lebih lama.

“Saya sudah terlalu lama menunggu, sehinggakan tidak tahu lagi apa harus dilakukan,” katanya yang berharap masalahnya itu mendapat penyelesaian secepat mungkin dan merayu bantuan nasihat dari mereka yang berpengetahuan dalam hal sebegini.

Stephan Gaimin
Sementara itu, Stephan ketika diminta mengulas perkara itu berkata, biarpun ada masalah pada cap jarinya sepatutnya pihak JPN tahu bahawa orang-orang seperti Francis ini ialah warga tempatan, kerana secara terang-terangan mereka ini memang berbahasa Dusun dan bukannya menggunakan dialek pendatang asing.

“Kita tidak menolak kemungkinan terdapat kelemahan semasa pengurusan permohonan Kad Pengenalan pada tahun-tahun sebelum ini, tetapi wajarkah jika sehingga sekarang perkara ini tidak mendapat keputusan?,” katanya lagi.

Katanya, apa yang merisaukan adalah apabila berlakunya situasi-situasi seperti kad pengenalannya telah dipakai oleh orang lain atau lebih kasihan kemungkinan dia (Francis) boleh dituduh memiliki kad pengenalan orang lain sedangkan langsung tidak menyangka perkara sedemikian berlaku.

“Saya terdorong untuk membantu Francis kerana melihat masalah ini sebagai antara isu terbesar di Sabah sekarang ini, dan saya menyeru kepada sesiapa yang mempunyai masalah seumpama ini agar dapat menghubungi mana-mana pejabat SAPP, dan kami akan cuba usahakan cara untuk membantu mereka,” jelasnya lagi.

Menurut beliau, buat masa ini mereka sedang menunggu surat daripada pihak Suhakam tetapi Setiausaha Suhakam sendiri telah berjanji untuk menghantar dokumen Francis ke Pengarah Pendaftaran bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Dalam masa sama, kami akan sentiasa memantau masalah-masalah sedemikian dan saya sendiri sanggup untuk bertemu mereka yang mempunyai masalah ini terutamanya penduduk tempatan yang tinggal di luar bandar.

“Kita berharap agar mana-mana pihak mengambil serius mengenai hal seperti ini dan menolak unsur-unsur berat sebelah serta komited terhadap tugas mereka,” tegas beliau.

Justeru, beliau menyeru agar pihak JPN dapat mempercepatkan pengurusan kad pengenalan Francis dan berharap situasi sedemikian tidak akan berlaku lagi pada masa-masa akan datang untuk kebaikan semua.

10 comments:

  1. Keadan macam amat meyusahkan, pasti banyak urusan yang tidak terurus dan tergendala. JPN patut segerakan pengurusan tu

    ReplyDelete
  2. lamanya tu..gila laa.. tak kan la mahu pergi sendiri di JPN KL. Kalau mahu begitu la bagus kasi tutup sja tu JPN KK.

    ReplyDelete
  3. Kesian itu beliau. Tapi kalau PATI, kena bagi layanan 1st class lagi untuk dapat ic!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Begitulah jadi kalau ada pihak yang salahguna kuasa.

      Delete
  4. JPN kena kurangkan karenah birokrasi.

    ReplyDelete
  5. Di Miri pula baru2 ini, seorang warga emas, Sayang Jalong,78 tahun terpaksa menunggu 40 tahun untuk memiliki sijil kelahiran dan hak kerakyatan.

    ReplyDelete
  6. JPN kena selesaikan masalah yang dihadapinya.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Diharapkan JPN akan memberikan perhatian terhadap isu seperti ini.

      Delete
  7. JPN perlu memberikan penjelasan mengenai perkara ini. Kita tidak mahu perkara ini akan terus menjadi permainan Pembangkang.

    ReplyDelete
  8. JPN haruslah memastikan rakyat tempatan dibenarkan untuk membaharui IC dan MyKad mereka.

    ReplyDelete