Search This Blog

Tuesday, December 31, 2013

SESB engkar pandangan awam antara punca tiang elektrik tumbang dirempuh banjir

TENOM - Seorang usahawan Datuk Teo Ming Chung menuding jari menyalahkan pengurusan Sabah Electricity Sendirian Berhad (SESB) kerana lalai bertindak lebih awal memindahkan tiang elektrik yang terletak ditebing Sungai Padas sebelum tumbang dirempuh banjir baru baru ini.

Oleh itu, apabila sesuatu perkara buruk telah berlaku diluar jangkaan, seluruh warga disini bangkit dengan suara yang lantang menyalahkan mereka (SESB) namun agak bernasib baik kerana ia tidak melibatkan kecederaan mahupun kehilangan nyawa.

“Saya telah hantar memorandum kepada Pegawai Daerah menyatakan beberapa masalah keselamatan didaerah Tenom terutamanya masalah bekalan air bersih, jambatan Tenom Lama dan tiang elektrik sekitar tahun 2010 dan 2012...tetapi satu pun tiada tindakan.

“Lihat lah sekarang apa jadi dengan tiang eletrik yang tumbang selepas dirempuh banjir pada baru baru ini...seluruh kawasan dalam daerah Kemabong bergelap sehinggalah ke hari ini,” tegas Datuk Teo ketika memberitahu Harian Ekspress pada Selasa.

Beliau (kanan) yang juga merupakan bekas Presiden Tenom Chinese Chamber of Commerce (TCCC) berkata, meskipun insiden itu hanya melibatkan bekalan elektrik terputus beberapa hari tetapi keadaan itu memberi kesan gangguan terhadap bisnes pengguna yang menggunakan bekalan elektrik.

Banjir yang melanda disini beberapa hari lalu apabila Sungai Padas dan Sungai Pegalan meningkat naik ke paras bahaya dengan kederasan air yang sangat kuat merempuh tiang elektrik terletak ditebing Sungai Padas di Tenom Lama Seberang mengakibatkan penjanaan bekalan elektrik ke beberapa pencawang kawasan dalam daerah Kemabong telah terputus.

Dalam pada itu, Pegawai Eksekutif Perhubungan Strategik dan Media SESB Darrell Lorimer ketika dihubungi pada Selasa menegaskan tindakan sedang dilaksanakan untuk memulihkan bekalan elektrik yang terputus dan dijangka akan pulih sekitar petang ini (Selasa).

Bagaimana pun, tegasnya, kerja kerja menanam tiang baru kena memakan masa yang lama disebabkan pihak SESB mengambil masa untuk mencari lokasi yang lebih sesuai untuk tujuan itu supaya kedudukan pemasangan tiang benar benar selamat termasuk kerja kerja memindah wayar dari tiang lama ke tiang baru.

Selain itu, beliau menjelaskan bahawa faktor faktor lain perlu diambilkira terutamanya dari aspek keselamatan kakitangan yang melaksanakan tugas tugas itu yang senantiasa dibayangi bahaya lebih lebih lagi keadaan cuaca yang tidak menentu masih berterusan.

Oleh: Mail Mathew

No comments:

Post a Comment