Search This Blog

Wednesday, March 9, 2011

Permohonan majlis penangguhan ditolak oleh speaker


USUL Ahli Parlimen Malaysia (Sepanggar), Datuk Eric Enchin Majimbun yang membuat Permohonan Majlis Penangguhan Mengikut Peraturan 18 (1); Cadangan untuk membincangkan tindakan bagi ‘Rakyat Malaysia’ yang ditabalkan sebagai Sultan Sulu Ke 33 pada 2 Februari 2011 di Kampung Likas, Kota Kinabalu, Sabah, Malaysia, telah ditolak Dewan Rakyat.

Berikut Teks Penuh Usul Eric Majimbun untuk tatapan rakyat Sabah.

Tuan Yang Di Pertua, RAKYAT Malaysia khasnya di Sabah telah dikejutkan dengan tersiarnya berita melalui media Elektronik dan surat khabar bahawa seorang ‘Rakyat Malaysia’ yang memiliki MyKad 570707-12-6083/H0695275 mengikut daftar pengundi yang diperolehi daripada Suruhanjaya Pilihanraya Malaysia, Pengundi di kawasan N 14, Likas, Sabah.

Mengikut berita yang tersiar, Datu Mohd Akjan Bin Datu Ali Muhammad setelah mengangkat sumpah kesetiaannya ditabalkan sebagai Sultan Sulu yang ke 33 dengan gelaran Paduka Mahasari Maulana Al-Sultan Sharif Ul-Hashim II, Dr Sharif Mohammad Akjan Mu’izzuddin Waddaaulah Ibni Al-Marhum Sultan Muhammad Pelalun, pada 2 Februari 2011 di Likas Sabah dengan disaksikan oleh sekumpulan 60 orang termasuk Pegawai Kanan Kesultanan Sulu dari provinsi Sulu di Selatan Filipina.

Kerajaan sementara Kesultanan Sulu yang pronvisi Sulu yang diketuai oleh Perdana Menterinya Datu Albi Ahmad Julkernain telah menjelaskan bahawa pertabalan tersebut diadakan jauh dari ibukota negeri provinsi Sulu di Jolo atas sebab keselamatan.

Mengikut profailnya, Datu Mohd Akjan dilahirkan pada 23 November 1957 di Jambangan, Nipah-Nipah di Kesultanan Sulu, adalah anak tunggal Sultan Sharif Ali Mohd Pulatan dengan isterinya Sharifah Sarimah Ibni Sharif Imam Yusof ibni Datu Sharif Salahuddin ibn Sharif Safaruddin telah dibawa oleh bapa saudaranya, Hashirin Sumabud ke Kem Sibaud di Sandakan atas alasan keselamatan pada 11 November 1962; kemudiannya menjadi warganegara Malaysia. Beliau adalah bekas tahanan ISA kerana dipercayai terlibat dalam sindiket pemalsuan kerakyatan dan pengeluaran Kad Pengenalan, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan dan Dakwah Islamiah Malaysia bahagian Sabah (Pekida), beliau juga sebagai Ketua Hal Ehwal Antarabangsa Pekida.

Penimbulan hal ini telah dengan sendirinya memperjelaskan kecurigaan dan wasangka rakyat tulen Malaysia, khasnya di Sabah bahawa selama ini warga-warga asing telah dan sedang dianugerah dengan keistimewaan sebagai rakyat Malaysia ada kebenarannya dan ‘mereka’ ini sedang bercampur gaul, bersaing dengan rakyat Malaysia tempatan di dalam semua bidang perniagaan, perusahaan, pertumbuhan penduduk dan sebagainya.

Ketua Menteri Sabah juga dengan tegas telah membidas agar Datu Akjan dilucut keahliannya dari Parti memerintah, UMNO.

Keistimewaan yang diberi oleh Kerajaan untuk rakyat asing sebagai warganegara Malaysia telah dibalas dengan satu tamparan yang dasyhat dan amat sukar kita bayangkan sebagi rakyat Malaysia yang taat setia mempertahankan Kedaulatan Negara kita dengan menjunjung tinggi 5 Prinsip Rukun Negara serta Perlembagaan Negara. Adakah rakyat yang diragui ini mempunyai ketaatan dan semangat kekitaan serta patriotism terhadap Negara kita? Inilah sebenarnya kebimbangan rakyat di Sabah selama ini.

Penimbulan hal ini sendiri juga telah memperjelaskan dakwaan kita di Dewan yang mulia ini berkaitan dengan penubuhan bancian penduduk secara mendadak dengan melambung tinggi sejak tahun 1970-an hingga sekarang iaitu peningkatan lebih daripada 400 peratus dalam masa 40 tahun. Tentunya dakwaan rakyat Sabah selama ini ada kebenaran dengan bukti jelas bahawa ramai warga asing yang telah diisytiharkan sebagai rakyat Malaysia tanopa mengikut lunas undang-undang seperti yang termaktub dalam akta Perlembagaan Malaysia, Enakmen Perdaftaran Rakyat serta Ordinan Pendaftaran Sabah yang masih diguna pakai khasnya di negeri Sabah.

Dengan ini Majlis Dewan yang mulia ini perlu ditangguhkan untuk membincangkan tindakan terhadap perkara yang tertentu ini. Bahawa ‘Rakyat Malaysia’ yang diragui ini dan mendakwa sebagai ‘Sultan Sulu yang Ke-33’ walhal Kepulauan Sulu adalah dalam Negara jiran Filipina, manakala pertabalan diadakan di dalam Negara Malaysia yang berdaulat.

Perkara ini adalah merupakan kepentingan bagi orang ramai dan nampaknya telah menjejaskan hubungan dua Negara di antara Malaysia dengan Filipina. Peristiwa ini juga telah mengukuhkan kecurigaan dan dakwaan majority rakyat Malaysia khasnya di Sabah terhadap pendatang asing yang mudah untuk mendapatkan dokumen peribadi sebagai rakyat Malaysia.

Memandangkan perkara ini sangat serius maka dengan ini saya mencadangkan hal ini amat dikehendaki dan perlu disegerakan atas sebab keselamatan Negara kita. Dengan dakwaan Datu Mohd Akjan bahawa kerajaannya mempunyai ramai orang, terutamanya mereka yang berketurunan Tausug, bukan sahaja di provinsi Sulu tetapi di sebahagian Pulau Borneo termasuk sabah, maka ini dengan sendirinya telah menimbulkan tuntutan haknya terhadap negeri Sabah.

4 comments:

  1. Masalah akjan adalah masalah yang besar untuk negara kita ini. Dia telah melanggar perlembagaan kita.

    ReplyDelete
  2. Akjan patut balik ke Sulu.

    ReplyDelete
  3. apa perkembangan terkini???

    ReplyDelete
  4. orang yang melanggar perlembangaan negara perlu diambil tindakan tegas.

    ReplyDelete