Search This Blog

Tuesday, September 20, 2011

ISA: Umno label Najib tunduk desakan minoriti?

Oleh G Manimaran

Walaupun empat hari sudah berlalu, persoalan-persoalan yang terus diketengahkan kebanyakan pihak - mengapa Datuk Seri Najib Razak mengumumkan inisiatif, yang disifatkan pemimpin BN sebagai berani - mahu memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA). Dua tahun lalu dalam ucapan sulung sebagai perdana menteri beliau meminta agar undang-undang itu dikaji semula.


Sejak itu, kebanyakan pendirian pengikut beliau khususnya pemimpin-pemimpin ialah agar undang-undang pencegahan itu dikekalkan. Ini dicerminkan menerusi satu perhimpunan menentang Gerakan Mansuh ISA (GMI) pada Ogos 2009 — situasi yang sama disaksikan ketika Perhimpunan Bersih 2.0 pada 9 Julai apabila kumpulan Patriot pimpinan Pemuda Umno dan Perkasa menentang gabungan yang menuntut pembaharuan pilihan raya.

Dalam satu komen yang dikongsi oleh seorang penganalisis komunikasi politik berkata, “mengenai cadangan Najib mahu memansuhkan ISA, kumpulan masyarakat pertengahan dan bandar mengalu-alukan.”

“Mereka ini (kebanyakan) penyokong Pakatan. Dengan itu mereka akan dineutralkan atau akan menyokong pemansuhan ISA oleh BN. Umno tidak begitu gembira dengan langkah ini,” katanya.

Bagaimanapun pakar yang berpengalaman mengiktui perjalanan pilihan raya sejak empat perdana menteri yang lalu juga berkongsi pengalaman bahawa kumpulan pertengahan yang berpendidikan yang mengalu-alukan usaha ini tidak seharusnya akan dineutralkan.

“Mengambil kira latar belakang mereka ini golongan berpendidikan, mereka akan mengambil sikap tunggu dan lihat.

“Jika pemansuhan dilakukan dengan segera dan tahanan dibebaskan, mereka kemungkinan akan menyokong Najib. Tetapi jika proses itu lambat dan dilewatkan, mereka akan kehilangan sokongan sekali lagi,” katanya sambil mengemukakan persoalan siapa yang menasihat Najib dalam ini.

“Adakah ia juga idea kumpulan penasihat yang dikaitkan dengan APCO,” kata beliau yang hairan dengan keputusan ini seolah-olah tergesa-gesa selepas Perhimpunan Bersih 2.0 dan beberapa minggu selepas pengumuman kajian Merdeka Center menunjukkan populariti Najib, yang juga Pengerusi BN dan Presiden Umno merudum teruk sejak Mei 2010.

Bagaimana pula dengan sentimen orang Umno secara langsung. Blog-blog pro-Umno yang seringkali mencerminkan pendirian parti teras BN ini mempunyai pandangan sendiri yang berbelah bahagi, meskipun kebanyakan melahirkan pendirian negatif. Beberapa blog pro-Umno melahirkan pandangan tidak memihak kepada langkah diumumkan oleh kepimpinan Najib.

Misalnya blog gerakan-anti-pkr menyoal sama ada tindakan kerajaan menghapuskan ISA dan tiga undang-undang lain berlandaskan kepada fakta atau strategi politik meraih populariti undi.

“Lepas aku menilai hujahan dan cadangan pembentangan fakta jelas kelihatan tindakan yang dilakukan semalam (Khamis) tampak lebih cenderung menari dalam mencari populariti undi,” kata tulisan pada blog itu.

Malah katanya, selama 12 kali pilihan raya umum, dan yang terbaru pada Mac 2008 dasar kerajaan BN yang meneruskan undang-undang ISA sebenarnya telah dipersetujui oleh majoriti rakyat - sebut pengundi BN.

“Jika benarlah ISA dan tiga undang-undang itu dilihat zalim, aku berkeyakinan pensil yang digunakan oleh pengundi untuk menolak kekejaman ISA dan tiga undang-undang lain sudah lama berlaku.

“Jika ISA dan tiga itu zalim, BN sebenarnya boleh terlungkup awal terutamanya pada Ops Lalang 1987,” katanya sambil menambah, “Najib kata dia mendahulukan rakyat.

“Rakyat didahulukan pencapaian diutamakan, rakyat yang bagaimana yang wajar didahulukan oleh sebuah kerajaan yang mempunyi majoriti undi rakyat,” katanya.

Malah ia menulis, jelas pada pilihan raya umum 2008, rakyat tetap memilih BN walaupun pada saat itu dikandung badan BN masih aktif melaksanakan undang-undang ISA dan tiga yang lain.

“Kerajaan pada masa ini dilihat lebih fokus pada gegak gempur minoriti penyangak dalam Malaysia. ISA zalim, itu dan ini, mereka menyalak pada laman-laman web, yang semestinya anti pada kerajaan.

“Sayang kehendak minoriti lebih menjadi intipati rakyat didahulukan,” katanya lagi yang menulis bahawa “elok benar rasanya KDN dibubarkan sejajar dengan penghapusan ISA.

“Tindakan semalam adalah mencari populariti undi sahaja, tak lebih dari itu. Kasihan majoriti rakyat yang sokong BN kerana pengimplementasian ISA,” kata tulisan itu lagi.

Dalam pada itu Datuk A Kadir Jasin menulis “kesimpulannya, adakah ini “ranting zaiton” Mohd Najib kepada pemilih muda dan liberal atau sekadar penerusan liberalisasi pseudo Abdullah Ahmad Badawi yang secara langsung menyumbang kepada penghakisan sokongan terhadap BN pada PRU lalu?”

Tulisan beliau merujuk kepada bekas perdana menteri. Oleh itu sama ada ahli-ahli Umno menyokong usaha ini, ramai ingin melihat reaksi bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad di mana Ops Lalang 1987 yang popular dilaksanakan.

Blog menggunakan kerisputera dalam entri bertajuk “Menteri Paling Gembira Bila ISA dimansuhkan” menulis, “bersediakah Malaysia Tanpa ISA?”

Sambil menyifatkan Menteri Dalam Negeri terlalu lemah, kata entri blog itu, “bayangkan apa terjadi mulai pagi nanti bila ISA dah takde, apakah (Menteri Dalam Negeri Datuk Seri) Hisham (Hishamuddin Hussein) makin berani?”

Hishammuddin juga salah seorang naib presiden Umno.

Pun begitu, blog ruangbicarafaisal.blogspot.com berkata, “sejak malam tadi (Khamis lalu) ramai penyokong kerajaan yang resah gelisah dengan pengumuman penghapusan ISA. Bermacam-macam reaksi yang diterima. Ada yang sedih, ada yang marah dan bermacam-macam reaksi lagi yang diterima.”

“Rileks.... bawa bertenang. Pepatah ada menyebut, untuk maju 10 langkah ke depan perlu undur selangkah ke belakang. Pegang saja kata pepatah tersebut dan Insy-Allah emosi anda akan terkawal.”

“Kenapa ISA akan dimansuhkan?” soal blog itu sambil memberikan jawapan bahawa ia terpaksa dimansuhkan setelah kajian yang dilakukan didapati ia sudah tidak sesuai dengan peredaran zaman. Akta yang sedia ada diwujudkan pada 1960. Contoh, mana mungkin polis masih boleh guna senjata Brengun lagi di zaman sekarang di saat penjenayah menggunakan pelbagai jenis senjata canggih. Maka sudah tentulah Brengun perlu digantikan dengan Mesingun, Sniper atau senjata-senjata lain yang lebih canggih.

“Masih sesuaikah kereta peronda polis jenis Alfa Romeo pada 1970 dan 1980-an digunakan di zaman sekarang di saat penjenayah, penjahat atau mereka yang melakukan kesalahan jalan raya menggunakan kereta-kereta yang jauh lebih hebat?” katanya.

Ia menambah, tidak timbul soal Najib tunduk kepada pembangkang atau sebagainya.

“Tak perlulah kita hendak merasa resah gelisah atau gundah gelana dengan penghapusan akta ISA 1960, kerana kehilangannya pasti akan berganti dengan yang lebih baik dan sesuai dengan peredaran zaman,” katanya.

Tulisan laman web Selangor Daily berkata diharapkan pihak kerajaan dapat menggubal rang undang-undang yang lebih komprehensif dan efektif dalam memastikan isu keselamatan negara tetap di puncak matlamatnya.

“Dan pelaksanaan akta tersebut haruslah secara konsisten dan penuh ketegasan. Tidak salah untuk terus menghargai sejarah, kerana sejarah tidak pernah menipu.

“Namun ambillah teladan dari sejarah, kerana ISA diwujudkan atas keperluan pada waktu itu, dan keperluan itu tidak sama dengan waktu sekarang,” katanya.

Ia menambah, persoalannya sejauh mana rakyat Malaysia akan menggunakan kebebasan yang diberi tanpa menyalahgunakan atau memanipulasinya sedang sensitiviti terhadap isu-isu kenegaraan dan melibatkan pengorbanan.

“Belum sampai 24 jam, (Adun) Manoharan sudah mencadangkan agar Jalur Gemilang ditukar... di mana penghormatan terhadap negara yang katanya mereka cintai? Kejamkah kita seandainya mengenakan ISA kepada dia kerana “menghina” Panji Kebangsaan, yang sebenarnya “initiate” untuk menghasut?” katanya.

Blog parpukari, “isu ISA ni membuatkan aku terfikir sepanjang malam, apa sebenarnya yang PM nak buktikan. Aku tak dapat nak bagi jawapan, secara peribadi aku tak setuju ISA dimansuhkan, tapi melihat kepada keadaan sekarang ni, ada ke takde ke sama je.”

Ia juga membawa mesej “memerhati dari luar, saya sering berpendapat bahawa sebarang pembahruan dan keterbukaan yang ingin di bawa oleh seorang Perdana Menteri yang juga Presiden Umno sering akan terganggu oleh ‘warlords’ di dalam Umno sendiri yang primitif dalam kesungguhan mahu mempertahankan kuasa.”

Penulis buku Najib Perdana Menteri Terakhir, Shahbudin Husin ketika ditanya mengenai reaksi ahli-ahli Umno berkata, “ramai tak setuju najib mansuh ISA sebab ini bukan perjuangan Umno tapi tuntutan pembangkang.”

“Ramai macam ‘frust’ sebab Najib tunduk kepada pembangkang sedangkan ahli Umno selama ni kuat pertahan ISA dan percaya ISA masih perlu,” katanya.

Ketua Pemuda Umno Khairy Jamaluddin berkata, “secara keseluruhannya, segala usaha tersebut membuktikan kesungguhan, komitmen dan keseriusan kerajaan menterjemahkan makna dan hasrat perubahan dalam gagasan transformasi yang dibawa oleh Perdana Menteri.”

“Ia juga membuktikan bahawa Barisan Nasional bukan sahaja wira dan peneraju politik baru berasaskan penyelesaian masalah dan keperluan rakyat tetapi juga berani menakhoda zaman dalam aspek nilai-nilai demokrasi, ketelusan serta hak asasi rakyat,” katanya.

Namun demikian katanya, “segala perubahan ini juga menuntut kepada anjakan minda dan kesediaan semua untuk kita memacu agenda transformasi ini dengan tuntas dan deras.”

Sementara Najib dikatakan tidak mendapat sokongan menyeluruh dalam Umno sendiri termasuk ke atas gagasan 1 Malaysia sebelum ini ia akan menjadi ujian susulan terhadap populariti beliau dalam menerajui Umno. Parti itu akan mengadakan pemilihan tahun depan. Minggu lalu Dr Mahathir menasihatkan Najib agar melewatkan pilihan raya umum ke-13.

Kumpulan pendesak seperti Perkasa juga memberi sokongan bersyarat. Selepas ini Gabungan NGO Malaysia akan membuat pendirian mereka. Jadi, Najib berhadapan dengan sokongan dan bangkangan dari dalam dan luar Umno-BN sendiri.

13 comments:

  1. Pastikan ISA akan dimansuhkan.

    ReplyDelete
  2. Harap rakyat sendiri pandai menilai tindakan kerajaan.

    ReplyDelete
  3. kesimpulannya, apa2 saja tindakan dan keputusan yang dibuat tidak akan menjamin sokongan dan persetujuan sepenuhnya oleh semua pihak. pasti ada saja pihak yang tidak berpuas hati.

    ReplyDelete
  4. semoga akta yang digubal sebagai pengganti ISA lebih baik dari akta yang sebelumnya.

    ReplyDelete
  5. apa pun keputusan yang dibuat ianya pasti akan menimbulkan pelbagai reaksi..

    ReplyDelete
  6. langkah memansuhkan ISA telah disambut baik oleh kebanyakan pihak..

    ReplyDelete
  7. ISA dan dimasuhkan, tapi akan ada akta baru menggantikannya.

    ReplyDelete
  8. Ini bukan pasal tunduk dengan seseorang atau sebaliknya, tapi ini kerana sudah masanya untuk menukar akta lama ini dan tidak sesuai buat masa sekarang ini.

    ReplyDelete
  9. Samada kita sedar atau tidak,Najib sudah takut bila BN hilang kuasa nanti Mat Sabu akan gunakan ISA dan Akta Buang Daerah.Tidak pula saya terfikir jika Najib kena buang daerah di Sepulut ? Dia hantar orang orang dia tunaikan fardhu haji pakai duit rakyat dan KWSP...tiada berkat tipu rakyat.



    Kini di coba gambarkan Anwar atau Mat Sabu macan Nelson Mandela....bertahun kena penjara tapi maafkan mereka yang bagi dia "mata lebam" dan masuk penjara....tiada akal betul ini Najib...penipu

    ReplyDelete
  10. Sdra Ajimain,kalau bukan takut dan kalau bukan tekanan ini si Najib Luncai tidak akan pindah akta ISA apa lagi bila mahu hapus....

    KURUK TEKOPON KESAPANG KB

    ReplyDelete
  11. Sejak bila lagi ISA dilaksanakan? Rasanya sudah berpuluh-puluh tahu. BN tetap kekal juga walau ISA ada. BN tetap berkuasa juga sehingga sekarang. Tapi Najib tahu walau ada ISA sekali pun itu tidak akan mengugat kerusi BN. Rakyat bukannya pentingkan ISA pun, tapi rakyat lebih pentingkan pembangunan dan kemudahan yang mereka dapat. Itu yang penting bagi rakyat.

    ReplyDelete
  12. sperti yg org lain ckp, bodoh sangat rupanya pemimpin2 dari kerajaan umno/bn terutamanya "ketua badut bermulut merah" mereka kerana baru sekarang tersentak dari lena tidur dan tiba2 menyedari yg terdapat kejanggalan terhadap akta zaman kuno ISA yg terkenal dgn jolokan "syurga kemunting". Entah berapa ramailah yg sudah menjadi mangsa akta ini......? kecuali Tuanku Akjan la kali.....

    ReplyDelete
  13. bagus kasi terus saja ba ni ISA.. kekal atau mansuh sama saja.. tetap jadi isu..

    ReplyDelete