Search This Blog

Wednesday, September 15, 2021

Kerjasama Kerajaan, Pembangkang Demi Pembangunan Negara – Hajiji


 KOTA KINABALU: Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Haji Noor yakin pemeteraian memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik antara Kerajaan Persekutuan dan Pakatan Harapan (PH) mampu menghentikan ‘politiking’ demi pembangunan negara dan rakyat.

Beliau berkata MoU ini akan menjadi satu panduan untuk bersama-sama mencari jalan sekali gus menyelesaikan krisis ekonomi dan kesihatan yang dihadapi sekarang ini akibat penularan pandemik Covid-19.

“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sabah, kita berasakan memorandum persefahaman antara Kerajaan dan pembangkang (PH) ini adalah yang terbaik dan berupaya mengetepikan segala perbezaan politik, menghentikan terlalu banyak berpolitik sekali gus dapat memastikan pemulihan negara khususnya ekonomi berjalan dengan lebih lancar dan holistik.

“Terutama ketika ini, pada saat ramai rakyat kita yang terjejas sumber pendapatan termasuk perniagaan mereka, justeru jalan penyelesaian seperti ini (kerjasama) adalah tindakan terbaik diambil,” katanya di sini hari ini.

Hajiji berkata, kerjasama ini akan menjadi satu medan untuk duduk bersama dan berbincang apa yang terbaik kepada negara.

“Apa yang penting sekarang ini adalah kestabilan politik ke arah untuk membangunkan negara ini khususnya dalam aspek ekonomi, yang terjejas teruk akibat penularan pandemik Covid-19,” katanya sambil menambah kerjasama ini juga sejajar dengan konsep Keluarga Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Kelmarin, Kerajaan Persekutuan dan PH melakar sejarah apabila julung kali memeterai memorandum persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik.

MoU yang dimeterai di Bangunan Parlimen itu merangkumi enam perkara iaitu Pemerkasaan Pelan Covid-19, Transformasi Pentadbiran dan Pembaharuan Parlimen, Kebebasan Institusi Kehakiman, Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Pembentukan Jawatankuasa Pemandu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, dalam satu kenyataan susulan pemeteraian MoU itu berkata, MoU itu membentuk kerjasama ‘dwi-partisan’ yang ampuh dan mantap dengan menjulang semangat Keluarga Malaysia, selaras dengan titah Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah. SG

No comments:

Post a Comment