Search This Blog

Wednesday, September 15, 2021

Pemilihan Timbalan Speaker Tangguh, Mahu Pinda Perlembagaan Beri Kuota Untuk Pembangkang

 


PUTRAJAYA- Dewan Rakyat sebulat suara meluluskan usul menangguhkan pemilihan timbalan speaker yang sepatutnya dibuat semalam.

Usul itu dibentangkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada sidang Dewan Rakyat hari ini dan disokong Ahli Parlimen Arau yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, Shahidan Kassim.

Wan Junaidi menjelaskan penangguhan itu bagi pindaan dibuat terhadap Perkara 57 (1)(b) Perlembagaan bagi menambah seorang lagi timbalan speaker kepada tiga orang, dengan salah seorang daripadanya turut diisi oleh wakil pembangkang.

“Dengan persetujuan Yang Dipertua menurut peraturan mesyuarat 90(2) saya mengemukakan usul untuk menghentikan peraturan mesyuarat 6, iaitu bagi menangguhkan pemilihan timbalan yang dipertua Dewan Rakyat yang tertera dalam aturan urusan mesyuarat dan usul-usul hari ini ke mesyuarat kedua penggal keempat Parlimen ke-14,” katanya.

“Walaupun dalam Perlembagaan tidak menetapkan siapa yang akan jadi timbalan speaker kerana landasannya dipilih oleh Ahli Parlimen, maka dengan itu kita akan buat satu peraturan supaya salah seorang daripada tiga timbalan speaker akan disandang oleh pihak pembangkang, tak kisah siapa jadi pembangkang. Itu hasrat kerajaan untuk menangguhkan usul ini.

“Saya sebenarnya sudah bincang dengan peguam negara supaya pindaan ini kalau dapat dibuat penghujung sesi ini untuk bacaan kali pertama dan diikut sesi Oktober nanti,” katanya.

Pemilihan timbalan speaker yang baharu adalah antara tumpuan persidangan Parlimen hari ini.

Pemilihan jawatan yang dikosongkan oleh Azalina Othman Said itu mendahului senarai usul Aturan Urusan Mesyuarat dan Usul-usul pada persidangan Penggal Keempat Parlimen Ke-14 yang berlangsung selama 17 hari mulai semalam.

Sebelum ini, pihak kerajaan mencalonkan Ahmad Maslan yang juga setiausaha agung Umno untuk jawatan itu, sementara blok pembangkang mencalonkan Ahli Parlimen Teluk Intan, Nga Kor Ming mewakili Pakatan Harapan (PH). SG

No comments:

Post a Comment