Sabah izin aktiviti sukan, rekreasi mulai Isnin
KOTA KINABALU: Sabah membenarkan aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal yang membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka atau tertutup, bermula Isnin ini.
Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata kebenaran itu hanya untuk individu yang lengkap vaksin COVID-19.
Katanya, aktiviti berkenaan adalah antara 10 jenis aktiviti yang akan dibenarkan beroperasi semula di Sabah dalam prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara Fasa 2 bagi Sabah yang akan dikuatkuasakan mulai Isnin ini.
Beliau berkata, semua aktiviti itu perlu mematuhi SOP lengkap vaksin kepada setiap individu sebagai syarat untuk menyertai atau melakukan aktiviti yang disenaraikan.
"Aktiviti `hiking' atau mendaki bukit juga dibenarkan kepada individu sudah lengkap divaksin yang dilakukan secara individu atau berkumpulan dengan mematuhi kapasiti 50 peratus atau tidak melebihi 30 orang, mana yang lebih rendah," katanya dalam kenyataan, malam ini.
Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata turut dibenarkan beroperasi bermula Isnin ini ialah Pusat Latihan Maritim dan Pusat Latihan Penerbangan.
Katanya, aktiviti kolam memancing dibenarkan beroperasi bermula jam 6 pagi hingga 6 petang dalam daerah yang sama dengan syarat pekerja dan pelanggan sudah lengkap vaksin serta mematuhi 50 peratus kapasiti atau tidak melebihi 30 orang.
"Aktiviti kapal persiaran domestik di perairan Sabah juga dibenarkan dengan kapasiti 50 peratus dengan syarat semua anak kapal atau pekerja dan penumpang sudah lengkap divaksin.
"Bagaimanapun, aktiviti kelab malam dan pub tidak dibenarkan.
"Mesyuarat secara bersemuka dibenarkan semula kepada individu yang sudah lengkap divaksin dengan kapasiti 50 peratus keluasan bilik mesyuarat.
"Semua pejabat swasta dibenar beroperasi dengan kapasiti pekerja adalah mengikut peratusan pekerja yang sudah divaksin," katanya.
Selain itu, katanya kerajaan negeri turut membenarkan kilang dan kedai minuman keras beroperasi semula, namun kelab malam, pub dan pusat karaoke tidak dibenarkan dibuka.
Sementara itu, Masidi berkata institut pengajian tinggi (IPT) di bawah Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) mula dibuka secara berperingkat kepada pelajar yang sudah lengkap vaksin dan melepasi tempoh keberkesanan selepas lengkap vaksinasi.
Bagaimanapun, katanya, kemasukan sebenar pelajar adalah tertakluk kepada kapasiti IPT.
Masidi berkata, SOP terperinci mengenai semua aktiviti itu akan dikeluarkan esok.
(Sumber Berita Harian)
No comments:
Post a Comment