Search This Blog

Friday, February 28, 2014

Sindiket IC didalangi kerajaan persekutuan Umno

KOTA KINABALU - Seorang aktivis pengguna Sabah hari ini melahirkan kebimbangan wujud sindiket yang didalangi sendiri oleh kerajaan persekutuan memberikan kad pengenalan Malaysia kepada seberapa ramai rakyat asing terutama yang beragama Islam untuk memenuhi niat mereka menukar lanskap penduduk di Sabah dan Sarawak.

Donny Yapp dalam kenyataannya di sini mendakwa selepas begitu banyak bukti dan laporan, kini kerajaan persekutuan, tidak dapat mengelak dari dituduh rakyat mendalangi     aktiviti terkutuk itu semata-mata ingin menguasai Malaysia Timur yang kaya dengan tanah, minyak dan gas.

“Kejadian beberapa hari lalu di mana beberapa orang warga Pakistan ditangkap memiliki Kad Pengenalan Malaysia dari Sabah membuktikan kerja mereka ini tidak pernah berhenti. Sudah ada pihak turut menuduh Majlis Keselamatan Negara sebagai dalang, dan kita kini tertunggu-tunggu laporan siasatan RCI terhadap hal ini.

“Bagaimana pula warga Pakistan ini yang mengaku dilahirkan di Pakistan tetapi memilik KP dari Sabah dan dilepaskan pula begitu sahaja? Bukankah ini perkara yang amat serius, memiliki kad pengenalan palsu? Mungkin pihak berkuasa persekutuan menganggap ia bukan palsu sebab itulah tugas mereka memberi dokumen Malaysia kepada rakyat asing beragama Islam untuk ke Sabah,” katanya.

Yapp yang juga Timbalan Bendahari Persatuan Hal-Ehwal dan Perlindungan Pengguna Sabah (CAPS) dan sering menjadi jurucakapnya turut menyokong kenyataan ADUN Bingkor Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengenai perkara yang sama.

“Terlalu banyak sudah laporan mengenai kes dokumen begini dalam tangan rakyat asing di Sabah tetapi pemimpin persekutuan masih tidak mengambil tindakan menghentikannya dan menarik semula dokumen ini, sebaliknya apa yang berlaku kini lebih ramai pendatang haram telah mengaku rakyat Sabah dan menamakan diri mereka “Melayu”,” tegasnya lagi.

Beliau berkata fakta ini boleh dibuktikan menerusi kajian para akademik dan penulis Sabah serta data dari Jabatan Statistik sendiri yang memberikan laporan tahunan jumlah penduduk Sabah dari 1950-an sehinggalah sekarang.

Katanya lagi, pendatang haram yang berada di Sabah juga seakan mendapat perlindungan pihak tertentu sehingga mereka begitu bebas menjalankan pelbagai perniagaan seperti runcit, mini-market, pinjaman peribadi dan juga pemandu teksi.

“Sampai bilakah rakyat Sabah yang cinta keamanan ini perlu berhadapan dengan situasi begini? Orang asing merebut peluang perniagaan dan pengaliran wang ke negara mereka berlaku. Mereka datang menggunakan pas lawatan sosial tetapi dengan senang diberi dokumen Malaysia sedangkan masih ramai rakyat tempatan Sabah tidak mempunyai sijil kelahiran dan kad pengenalan mereka sendiri,” kata Yapp lagi.

Yapp juga mendakwa ada laporan diterima di mana warga Pakistan mengahwini perempuan tempatan tetapi tidak tinggal serumah namun menggunakan mereka untuk mendapatkan lesen dan permit tertentu.

“Mereka semakin kreatif dan rasa selamat mereka berada di sini telah mendorong mereka membawa lebih ramai lagi dari India dan Pakistan datang ke sini dan menjadi “Melayu” dan mungkin menyokong parti politik tertentu dalam komponen Barisan Nasional (BN). Mereka juga dilihat turut menerima BR1M di sana sini di Sabah.

“Baru-baru ini pemimpin mereka di sini telah mengeluarkan kenyataan akan membawa lebih ramai pekerja dari India untuk bekerja di restoran-restoran makanan India, dan kita tahulah apakan akan terjadi nanti mereka ini tidak lama kemudian akan memiliki kad pengenalan Malaysia.

“Kita di Sabah dan yang mencintai keamanan tetapi pihak tertentu dalam Kerajaan Persekutuan janganlah pandang kami terlampau remeh. Mereka telah membahayakan hidup rakyat asal di Borneo dan mereka sedang bermain dengan api dalam rumah mereka sendiri,” katanya.

Jurle Sagayong

No comments:

Post a Comment