Search This Blog

Sunday, September 12, 2021

Guru, kakitangan sekolah capai lebih 80 peratus dua dos vaksin

 

PUTRAJAYA: Sebanyak 88.56 peratus guru sekolah sudah melengkapkan dua dos vaksin, dengan dos pertama mencatatkan 97.46 peratus setakat 11 September 2021.

Menteri Pendidikan, Senator Datuk Dr. Mohd. Radzi Md. Jidin berkata, ini diikuti dengan 83.38 peratus anggota kakitangan perkhidmatan (AKP) sekolah melengkapkan dua dos vaksin dan 96.96 peratus untuk dos pertama, manakala 74.90 peratus Pegawai Perhubungan Sekolah (PPS) melengkapkan dua dos vaksin dengan 90.59 peratus menerima dos pertama.

“Semua mereka yang berada di sekolah pada satu-satu masa dalam ketiga-tiga kumpulan mereka mesti telah divaksinkan. Kita telah keluarkan arahan kepada pengusaha-pengusaha khususnya konteks kebersihan, keselamatan kantin dan dewan makan memastikan pekerja mereka berkhidmat di sekolah mesti divaksinkan,” katanya dalam sidang akhbar pengoperasian sekolah hari ini.

Namun Radzi mendedahkan, terdapat dua kumpulan yang masih belum menerima vaksin.

“Kumpulan yang pertama adalah atas sebab kesihatan dan dinasihatkan doktor. Satu lagi mereka memilih untuk tidak divaksinkan dan kita sedang berbincang dengan Jabatan Perkhidmatan Awam, apakah tindakan selanjutnya.

“Buat masa ini kita akan memastikan guru ini tidak akan mengajar secara bersemuka,” katanya.

Untuk pemandu bas sekolah, Radzi berkata pihak kementerian telah mendapatkan senarai dari Kementerian Pengangkutan untuk program vaksinasi.

“Namun begitu, ibu bapa perlu memberi perhatian dalam konteks mungkin pemandu itu tidak berada dalam senarai yang diberikan.

“Kami pohon ibu bapa untuk membuat tindakan sewajarnya,” katanya. – UTUSAN

No comments:

Post a Comment